Tarikh : Jumaat, 29-Ogos-2014 muka depan    |    carta organisasi    |    galeri foto    |    soaljawab PLN    |    maklumbalas   


 
   
 
Putrajaya
Jabatan Perdana
Menteri
 
 
 
Galeri Foto

APA YANG ANDA PERLU KETAHUI MENGENAI PENDATANG LUAR NEGERI (PLN)

  1. Siapakah Pendatang Luar Negeri (PLN) di Sabah dan W.P. Labuan?
  2. Kenapakah terdapat begitu ramai sekali PLN di Sabah dan W.P Labuan?
  3. Apakah kejayaan Program Regularisasi (Pemutihan).
  4. Apakah dasar Kerajaan terhadap golongan Pendatang Tanpa Izin, Buruh Asing dan Pelarian Filipina.
  5. Isu PTI telah berlarutan tanpa suatu penyelesaian konkrit oleh Kerajaan.
  6. Kehadiran PLN mengikis peluang perniagaan dan pekerjaan dikalangan penduduk tempatan dengan menjaja tanpa lesen.
  7. PLN menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat seperti hospital, jalanraya, bekalan letrik, air dan sekolah.
  8. Penempatan haram PTI berselerak diseluruh negeri dan tiada tindakan diambil bagi menangani masalah ini, sedangkan rakyat tempatan banyak yang tidak memiliki tanah.
  9. Perlakuan jenayah banyak dilakukan oleh PTI dan ini mengancam keselamatan negeri dan ketenteraman awam.
  10. PTI mengambil bahagian dalam politik dengan menggunakan kad pengenalan yang diragui ketulinannya dan sekaligus menghakis proses demokrasi dan hak warganegara dalam menentukan politik negeri.
  11. Selain tidak mengamalkan kebersihan, kehadiran PTI telah menyebarkan penyakit-penyakit berjangkit dikalangan rakyat tempatan.
  12. PTI bersifat pengotor dan suka membuang sampah merata-rata termasuk disekitar rumah dan ditempat awam. Perkara ini dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa.
  13. Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L) untuk mengusir Pendatang Tanpa Izin?
  14. Apakah tindakan Kerajaan untuk memastikan mereka yang telah dihantar pulang tidak masuk semula ke negara ini.
  15. Apakah bentuk kesalahan yang sering dilakukan oleh para majikan?
  16. Apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada majikan yang disabitkan dengan kesalahan-kesalahan tersebut.
  17. Adakah menjadi kesalahan sekiranya sesorang itu menyewakan tanah, rumah, lesen-lesen perniagaan, kenderaan kepada Pendatang Tanpa Izin? Sekiranya bersalah apakah bentuk hukuman yang boleh dikenakan?
  18. Kehadiran PLN di Sabah boleh memberi ancaman keselamatan dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi isu tuntutan Filipina ke atas Sabah masih belum digugurkan. Apakah ini benar?
  19. Bagaimanakah untuk menyampaikan maklumat atau aduan tentang PTI di Sabah?

 

JAWAPAN

1. Siapakah Pendatang Luar Negeri (PLN) di Sabah dan W.P. Labuan?

PLN di Sabah dan W.P Labuan terdiri daripada tiga golongan iaitu:-

a. Pendatang Tanpa Izin ( PTI ) - terdiri daripada semua warganegara asing yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah atau tinggal di negeri ini melebihi tempoh masa yang telah ditetapkan.

b. Buruh Asing - terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina yang masuk secara teratur dan dikeluarkan Pas Kerja, Pas Lawatan (Kerja Sementara) oleh Jabatan Imigresen Sabah. Kemasukan mereka semata-mata untuk bekerja di sektor-sektor yang ditetapkan.

c. Pelarian - mereka terdiri daripada warganegara Filipina yang datang dari kawasan pergolakan politik Selatan Filipina dan masuk ke Sabah pada tahun 1970an.

2. Kenapakah terdapat begitu ramai sekali PLN di Sabah dan W.P Labuan?

a. Ekonomi Sabah adalah berteraskan pertanian. Pembangunan pesat dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini sememangnya memerlukan tenaga buruh asing kerana jumlah penduduk Sabah yang hanya seramai lebih kurang 1.6 juta tidak dapat menampung keperluan tenaga buruh terutama di sektor perladangan dan perkilangan. Program Regularisasi yang telah dilaksanakan bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada tahun 1997 telah berjaya memperaturkan Pendatang Tanpa Izin yang telah berada di negeri ini untuk bekerja secara sah.

b. Keadaan ekonomi yang tidak stabil di negara-negara jiran telah menyebabkan penghijrahan penduduk mereka ke negeri ini untuk mencari penghidupan yang lebih baik.

c. Sikap sebahagian besar rakyat tempatan yang enggan bekerja secara lasak, kotor dan merbahaya juga menyebabkan keperluan tenaga buruh diisi dengan tenaga kerja asing. Sikap sedemikian memaksa majikan-majikan untuk mengambil PLN sebagai pekerja mereka.

d. Walaupun tindakan tegas telah diambil, masih terdapat sindiket-sindiket tertentu mengurus kemasukan PLN untuk tujuan pelacuran, maksiat dan lain-lain.

3. Apakah kejayaan Program Regularisasi (Pemutihan).

Program Regularisasi telah berjaya mengesan seramai 413,832 PLN (termasuk keluarga) yang terdiri daripada 119,128 warga Filipina dan 294,704 warga Indonesia. Melalui Program tersebut Kerajaan telah membenarkan PLN yang mempunyai nilai kerja tinggal dan bekerja secara sah di Sabah. Bagi mereka yang tidak bermajikan tindakan penangkapan dan penghantaran pulang dilakukan secara berterusan. Melalui Program itu juga kerajaan telah mendapat maklumat dan gambaran yang jelas serta terkini mengenai bilangan PTI yang berada di Negeri Sabah, dimana mereka bekerja dan siapa majikan mereka dan sebagainya. Dengan adanya maklumat yang lengkap ini, usaha-usaha berterusan di dalam menangani masalah-masalah PTI dapat dibuat dengan lebih mudah, tersusun dan berkesan.

4. Apakah dasar Kerajaan terhadap golongan Pendatang Tanpa Izin, Buruh Asing dan Pelarian Filipina.

a. Pendatang Tanpa Izin - Golongan ini adalah tertakluk kepada tindakan penangkapan, pendakwaan dan seterusnya penghantaran pulang ke negara asal.

b. Buruh Asing - Mereka dibenarkan bekerja di negeri ini dalam sektor-sektor yang dibenarkan dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengendalian Buruh Asing (JPBA) Sabah dan W.P. Labuan.

c. Pelarian Filipina - Mereka dibenarkan tinggal dan bekerja di Negeri Sabah dan W.P. Labuan. Walau bagaimanapun mereka tidak dihalang malah digalakkan untuk kembali ke negara asal masing-masing.

5. Isu PTI telah berlarutan tanpa suatu penyelesaian konkrit oleh Kerajaan.

Masalah PTI di Sabah adalah kompleks. Dengan itu usaha mengatasinya mestilah terancang dan tidak boleh dibuat dalam sekelip mata sahaja. Penyelesaian konkrit telah dirangka dan dilaksanakan. Ini termasuklah memperketatkan Akta Imigresen dan meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan undang-undang. Usaha-usaha juga dibuat melalui saluran diplomasi dan bidang kerjasama pembangunan ekonomi serantau. Dengan ujudnya pembangunan ekonomi di Selatan Filipina dan wilayah-wilayah Indonesia yang terlibat hasil dari kerjasama tersebut, PTI dijangka dengan sendirinya akan meninggalkan negeri ini untuk bekerja di kawasan-kawasan yang dibangunkan itu. Yang penting semua pihak hendaklah menyokong dan turut sama-sama membantu usaha Kerajaan dalam menangani masalah ini.

6. Kehadiran PLN mengikis peluang perniagaan dan pekerjaan dikalangan penduduk tempatan dengan menjaja tanpa lesen.

Sebarang perniagaan yang diusahakan mesti mempunyai lesen yang sah diperlakukan. Perniagaan tanpa lesen adalah perniagaan haram. PTI tidak dibenarkan menjalankan perniagaan, malah lesen perniagaan tidak dikeluarkan kepada mereka. Jadi tidak timbul soal PTI mengikis peluang perniagaan penduduk tempatan. Peniaga haram tidak dapat lari daripada tindakan pihak penguatkuasaan. Dari segi peluang pekerjaan pula, PLN hanya dibenarkan bekerja di sektor-sektor tertentu sahaja antaranya perladangan, perkilangan dan pembantu rumah yang mana pekerjaan di sektor-sektor tersebut enggan diisi oleh penduduk tempatan.

7. PLN menggunakan segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat seperti hospital, jalanraya, bekalan letrik, air dan sekolah.

PTI berada di negeri ini secara haram dan mereka tertakluk kepada operasi tangkapan dan pengusiran. Jika mereka menggunakan kemudahan yang ada seperti letrik dan air, penggunaan itu adalah melalui cara yang haram. PTI juga tidak dibenarkan bersekolah di negara ini. Hanya mereka yang mempunyai pas lawatan yang sah sahaja yang dibenarkan bersekolah. Kemudahan tersebut diberi adalah atas dasar perikemanusiaan dan kerana mereka juga (Buruh Asing yang berdaftar) telah memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

8. Penempatan haram PTI berselerak diseluruh negeri dan tiada tindakan diambil bagi menangani masalah ini, sedangkan rakyat tempatan banyak yang tidak memiliki tanah.

Sebarang penempatan haram akan diambil tindakan meroboh oleh pihak berkuasa negeri. Bagi penempatan yang dibina di atas tanah milik persendirian, adalah menjadi tanggungjawab tuan tanah sepenuhnya. Mereka boleh diambil tindakan undang-undang kerana melindungi PTI.

9. Perlakuan jenayah banyak dilakukan oleh PTI dan ini mengancam keselamatan negeri dan ketenteraman awam.

Tidak dinafikan selain dari warganegara sendiri PTI turut melakukan jenayah. Sesiapa yang melakukan jenayah samada warganegara atau PTI akan menghadapi tindakan undang-undang dan PTI pula akan dihantar pulang ke negara asal setelah menjalani hukuman. Jangan kerana segelintir yang melakukan jenayah, kepentingan tenaga buruh asing untuk perkembangan ekonomi negeri dinafikan. Sektor ladang dan pertanian yang menjadi asas ekonomi Sabah banyak bergantung kepada tenaga buruh asing dari Indonesia. Penduduk tempatan ramai yang tidak mahu bekerja di ladang.

10. PTI mengambil bahagian dalam politik dengan menggunakan kad pengenalan yang diragui ketulinannya dan sekaligus menghakis proses demokrasi dan hak warganegara dalam menentukan politik negeri.

Sesiapapun jika memiliki kad pengenalan orang lain melakukan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara dan boleh didenda dan dipenjara. Pemeriksaan kad pengenalan terutamanya oleh Jabatan Pendaftaran Negara sentiasa dilakukan. Bukan warganegara tidak boleh mengambil bahagian di dalam siasah negara walau dalam apa bentuk sekalipun. Jadi tidak timbul soal PTI menghapus proses demokrasi dan menentukan halatuju politik negeri.

11. Selain tidak mengamalkan kebersihan, kehadiran PTI telah menyebarkan penyakit-penyakit berjangkit dikalangan rakyat tempatan.

Negara mempunyai taraf penjagaan kesihatan yang memuaskan. Penyakit berjangkit sentiasa diawasi dan dikawal oleh Kementerian Kesihatan. Yang penting rakyat perlu tahu bagaimana hendak menjaga kesihatan. Bagi pekerja asing yang dibenarkan bekerja di negeri ini, mereka dikehendaki menjalani dan lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh agensi yang dilantik oleh Kerajaan, FOMEMA SDN. BHD.

12. PTI bersifat pengotor dan suka membuang sampah merata-rata termasuk disekitar rumah dan ditempat awam. Perkara ini dibiarkan sahaja oleh pihak berkuasa.

Kalau selama ini pihak berkuasa tidak menjaga kebersihan tentulah negeri ini ditimbuni sampah sarap. Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab semua. Bukan sahaja sikap pengotor tidak dikehendaki, Sabah tidak memerlukan PTI itu sendiri. Sebab itu mereka dikesan, ditangkap dan diusir.

13. Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L) untuk mengusir Pendatang Tanpa Izin?

a. Langkah pertama ialah mengenalpasti mereka yang dikategori dalam kumpulan PTI. Tindakan penangkapan dan penghantaran pulang akan dibuat ke atas mereka berterusan.

b. Selain pengawasan sempadan darat oleh PDRM, Jabatan Imigresen dan sebagainya, langkah-langkah pengawasan oleh TLDM dan Polis Marin di perairan negara telah dipertingkatkan. PTI yang cuba menceroboh melalui jalan laut terus diusir ke negara asal masing-masing.

c. Pihak berkuasa tidak menghadapi masalah untuk menempatkan PTI sebelum dihantar pulang setelah siapnya Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Menggatal Kota Kinabalu yang boleh menempatkan seramai 2,000 orang. PTS Sandakan dan Tawau juga sedang di dalam proses pembesaran dan boleh memuatkan seramai 800 orang setiap satu PTS pada setiap masa.

14. Apakah tindakan Kerajaan untuk memastikan mereka yang telah dihantar pulang tidak masuk semula ke negara ini.

a. Usaha-usaha pengawasan diperairan Pantai Sabah dan W.P Labuan telah ditingkatkan dari masa ke semasa oleh pihak TLDM dan Polis Marin. Tindakan di darat pula dijalankan oleh PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Buruh dengan diselaraskan oleh ppk (S/L).

b. Walau bagaimanapun, bukanlah merupakan satu perkara yang mudah untuk mewujudkan kawalan yang menyeluruh ke atas Pantai Sabah dan W.P Labuan yang panjangnya melebihi 1500 kilometer dengan tenaga serta peralatan yang terhad. Kedudukan pulau-pulau di Selatan Filipina dan di Kalimantan Timur, Indonesia yang terlalu hampir dengan Pantai Sabah menyukarkan pengawalan terhadap kemasukan Pendatang dari kedua-dua negara tersebut. Oleh yang demikian, pihak berkuasa akan terus mengusir pendatang yang cuba menyusup ke negeri ini disamping mengusir Pendatang Tanpa Izin yang telah berada di negeri ini.

c. Hukuman lebih berat telah dikuatkuasakan ke atas PTI yang masuk semula selepas dihantar pulang dengan hukuman rotan tidak melebihi 6 sebatan.

d. Sejak tahun 1990 sehingga Disember 1998 seramai 110,823 PTI telah dihantar pulang ke negara asal mereka

15. Apakah bentuk kesalahan yang sering dilakukan oleh para majikan?

Kesalahan-kesalahan berikut adalah antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh para majikan:-

a. Menggaji pekerja asing yang tidak mempunyai Dokumen Pejalanan serta Pas Kerja atau Pas Lawatan (Kerja Sementara ) yang sah.

b. Mengaji pekerja asing yang memiliki Pas Kerja atau Pas Lawatan (Kerja Sementara) yang diperuntukkan kepada majikan yang lain.

c. Menggaji pekerja asing tanpa mempunyai lesen Penggajian Pekerja Asing yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.

d. Menggaji Pekerja Asing Tanpa Izin, walaupun memiliki Lesen Penggajian Pekerja Asing yang sah.

16. Apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada majikan yang disabitkan dengan kesalahan-kesalahan tersebut.

Mengikut Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan) 1997:

Seksyen 55B (1) ;

Mana-mana individu atau majikan yang didapati mengambil bekerja/merekrut di bawah 5 orang pekerja asing (tidak memiliki sebarang dokumen yang sah) adalah didapati bersalah dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10,000 dan tidak melebihi RM 50,000 untuk setiap pekerja asing tersebut.

Seksyen 55B (3);

Sabit keselahan di Seksyen 55B sub-sec (1) diatas, majikan yang didapati bersalah oleh mahkamah mengambil bekerja/merekrut lebih daripada 5 orang pekerja asing (tanpa sebarang dokumen yang sah) boleh dipenjarakan tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun.

17. Adakah menjadi kesalahan sekiranya sesorang itu menyewakan tanah, rumah, lesen-lesen perniagaan, kenderaan kepada Pendatang Tanpa Izin? Sekiranya bersalah apakah bentuk hukuman yang boleh dikenakan?

Dibawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 1997), mana-mana orang yang dengan sengaja melindungi mana-mana orang yang ia ketahui atau mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayainya bahawa orang itu telah bertindak bertentangan dengan Akta ini, maka jika disabitkan dengan kesalahan itu, boleh didenda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-. duanya sekali.

18. Kehadiran PLN di Sabah boleh memberi ancaman keselamatan dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi isu tuntutan Filipina ke atas Sabah masih belum digugurkan. Apakah ini benar?

Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah dan isu PLN di Sabah dan W.P Labuan merupakan dua isu yang berbeza dan merupakan penyelesaian yang berlainan. Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah melibatkan hubungan dua hala antara Kerajaan Filipina dengan Kerajaan Malaysia, sedangkan isu PLN di Sabah telah menjadi isu keselamatan, melibatkan bukan sahaja PLN dari Filipina tetapi termasuk mereka yang datang dari negara lain.

19. Bagaimanakah untuk menyampaikan maklumat atau aduan tentang PTI di Sabah?

Sebarang maklumat berhubung dengan PLN bolehlah dilaporkan kepada alamat berikut:-

Semua Pejabat Imigresen

ATAU

Semua Balai Polis

ATAU

Pasukan Petugas Khas Persekutuan (S/L)

 

 

 
  Undian  

Adakah anda berpuas hati dengan tindakan Pasukan Petugas Khas Persekutuan mengusir Pendatang Tanpa Izin ?
Tentu Sekali
Setuju
Tidak Setuju
Mungkin
Perlu diperbaiki